Thursday, 29 September 2011

Sinopsis novel Lagenda Budak Setan karya Ahadiat Akashah

     Ahadiat Akashah merupakan salah seorang penulis novel paling memberi impak dalam industri penulisan novel sejak sekian lama. Novel Lagenda Budak Setan adalah salah satu karya agung beliau yang masih di cari-cari oleh penggemar novel. Selain itu, novel ini juga telah di adaptasikan ke dalam bentuk filem dan telah di tayangkan pada 3 Jun 2010 yang lalu. Berikut adalah sinopsis novel tersebut yang juga antara novel wajib dalam koleksi saya.


    Kasyah bersama rakan sekumpulannya, Sapi, Man dan Cin Cai merupakan pelajar nakal yang sering membuat onar dan terkenal kerana sering dikenakan tindakan disiplin. Mereka juga melabelkan kumpulan mereka sebagai anti perempuan. Namun, sikap dan kenakalan Kasyah berubah dengan kemunculan pelajar baru, Ayu. Ayu telah benar – benar menambat hati dan perasaan Kasyah, membuat dia jatuh cinta. Ayu mencabar Kasyah untuk berubah dan sebagai syarat untuk dia menerima Kasyah. Episod baru hidup Kasyah pun bermula.

     Tiba masanya Kasyah perlu melakukan tugasan kajian tesisnya ke pedalaman. Kasyah berpisah sementara dengan Ayu. Azmi yang pernah mengecewakan Ayu, kini muncul kembali menagih cinta dari Ayu. Azmi hampa bilamana Ayu menolak permintaannya itu. Melalui ibu Ayu, Mak Leha, Azmi merencanakan sesuatu untuk membolehkannya bernikah dengan Ayu. Melalui perancangan Azmi, Mak Leha berpura sakit jantung dan tidak boleh kerisauan. Ayu yang serba salah terpaksa menerima Azmi dalam hidupnya, kerana bimbangkan keadaan ibunya. Ayu berkahwin dengan Azmi. Kasyah kecewa. Kebahagian yang diharapkan tidak menjelma.

     Azmi kembali kepada tabiat lamanya yang pemabuk, panas baran, kaki perempuan dan sering membelasah Ayu. Suatu malam, mereka berdua bergaduh besar. Ayu yang dipukul bertindak melarikan diri dengan kereta. Ketika memandu dalam keadaan trauma dan emosi, Ayu hilang kawalan lalu kemalangan. Ayu cedera parah. Mukanya hancur. Azmi menuntut maaf tapi Ayu sebaliknya menuntu cerai dan minta wajah yang baru. Episod baru hidup Ayu pun bermula. Ayu yang kini berwajah baru tampil sebagai Emilia. Ayu ingin memulakan hidup baru dan melupakan episod dukanya.

     Ayu / Emilia, menubuhkan syarikat melalui wang simpanan dan pampas an dari Azmi. Melalui kawannya, Suzana, Kasyah dijejaki dan dipelawa untuk bekerja dengan syarikat Emilia. Kasyah yang pada mulanya tidak menyangka apa – apa, mula mengesyaki sesuatu setelah baru bekerja. Melalui Suzana juga Kasyah mengetahui segalanya tentang Ayu / Emilia. Hubungan mereka kembali bertaut. Azmi yang sakit hati cuba mengagalkan hubungan itu kembali. Azmi sekali lagi meminta bantuan Mak Leha untuk memujuk Ayu / Emilia. Semasa di rumah Emilia, Azmi telah memukul Emilia dihadapan Mak Leha sehingga milia terjatuh dan tidak sedarkan diri. Emilia cedera parah di kepala dan hilang ingatan. Berbagai cara dilakukan oleh Kasyah dan Mak Leha untuk memulihakn ingatan namun belum berhasil. Emilia yang senakin pulih, akhirnya mengahwini Kasyah. Kebahagian yang diharapkan Kasyah tidak kekal lama. Ayu / Emilia meninggal dunia ketika melahirkan anak.


     Karya asal novel ini adalah sangat panjang sehingga melebihi 500 muka surat. Namun begitu,cara garapan penulisnya yang sentiasa mengusik hati dan perasaan pembacanya tetap meneruskan pembacaan hingga ke akhir demi mengetahui kesudahan cinta Kasyah dan Ayu/Emilia. Novel ini juga telah diterbitkan berulang kali disebabkan permintaan bagi novel yang sangat tinggi.

Sinopsis Filem "SENIMAN BUJANG LAPOK"

      Filem pilihan pilihan saya adalah filem yang tidak perlu di perkatakan lagi iaitu "Seniman Bujang Lapok"..Berikut adalah sinopsis filem tersebut.

        TIGA Bujang Lapok (Ramlee, Sudin dan Aziz) menganggur dan ketika sedang minum di sebuah gerai datang lori promosi filem "Panji Semerang" (dengan iringan muzik filem "Bridge On The River Kwai") berhampiran gerai tempat mereka minum.

      Kerana lori tersebut berhenti kerana tayar meletup dan pancit Sudin mengambil kesempatan bertanya dengan mereka yang bertugas di mana boleh mereka memohon untuk menjadi orang wayang atau pelakon filem.  Sudin diberitahu untuk pergi ke Jalan Ampas.

       Dengan tidak berlengah lagi mereka menaiki beca pergi ke Jalan Ampas. Mereka bertiga hampir putus asa kerana telatah-telatah yang ditunjukkan oleh beberapa orang petugas di situ dan juga sikap mereka.  Bagaimanapun setelah ditegur oleh pengawal keselamatan katanya: "Ooi…panggil orang macam tak ada nama".  Barulah mereka bersemangat kembali dan Jaga tersebut mencadangkan mereka pergi menemui pengurus Kemat Hassan.

      Permohonan Ramlee, Sudin dan Aziz untuk menjadi bintang filem telah dicemuh oleh Ali Fiji yang kebetulan berada di situ.  Katanya: "Ini macam punya muka mahu jadi "film star", ka…".  Tetapi cemuhan tersebut telah dibalas oleh pengawal keselamatan.  Bidasnya: "Lu pun satu la…, baru orang minta kerja lu macam-macam cakap.  Apa macam lu punya bangsa mahu maju".
    
   Manager Kemat Hassan mengarahkan Pengarah Ahmad Nisfu jalankan "screen test" terhadap mereka bertiga yang pada ketika itu sedang mengarahkan satu adegan lakonan S. Kadarisman dan Hashimah Yon.  Dan disebabkan tidak tahu peraturan penggambaran filem keadaan semasa penggambaran menjadi kecoh apabila Sudin bertindak memarahkan S. Kadarisman kerana mahu memancung Hashiman Yon kerana makanan yang mahu di makannya tidak ditaruh belacan.

     Perbuatan Sudin dan juga Aziz yang masuk campur kemudian membuatkan Pengarah Ahmad Nisfu naik marah dan menghalau mereka keluar.  Bagaimanapun, Ahmad C. memberitahu Pengarah Ahmad Nisfu mereka datang untukmenjalankan "screen test" atas arahan pengurus Kemat Hassan.

    Sungguhpun, "screen test" dijalankan boleh membuatkan Pengarah Ahmad Nisfu jadi "gila" lain yang disuruh lain yang dibuat.  Namun mereka berjaya menambat hati pengurus Kemat Hassan dan dengan itu jadilah mereka anak wayang dan digelar "Seniman Bujang Lapok".

     Sementara itu, di rumah tempat mereka menyewa Ramlee sedang berkasih-kasihan dengan Salmah yang bekerja sebagai jururawat yang juga dicintai oleh Shariff Dol yang sering kali mengusiknya.  Dalam pada itu, mereka sering terganggu ketika menghafal skrip.  Ada penyewa beristeri dua tidak bertimbang rasa dengan membuka radio kuat-kuat dan kemudian bergaduh pula dengan isteri pertamanya.  Ada pula penyewa yang menghidupkan enjin motosikalnya dengan bunyi yang membisingkan suasana.  Ada pula penyewa berlatih meniup trumpet dengan kuat hingga memekakkan jiran-jiran sebelah yang mana semuanya itu terpaksa diselesaikan oleh Ramlee, Sudin dan Aziz dengan cara baik mahupun kekerasan.

    Ketika membuat penggambaran filem "Bujang Lapok Dalam Negeri Baghdad" Ramlee, Sudin dan Aziz terus menerus membuatkan Pengarah Ahmad Nisfu naik berang kerana membuat macam-macam kesalahan hingga menyebabkan dia di serang sakit jantung hingga terpaksa di rawat di hospital.  Wajah Ramlee, Sudin dan Aziz sangat-sangat menghantuinya hinggakan ketika mereka datang ke hospital melawatnya (bila terpandang saja wajah mereka) Pengarah Ahmad Nisfu pengsan semula.

    Apabila pulang ke rumah didapati oleh mereka Salmah bersedih yang menyebabkan Ramlee runsing.  Rupa-rupanya kesedihan itu disebabkan ada orang datang meminangnya untuk samseng Kampung Dusun, Shariff Dol, yang selama ini sering menganggu Salmah.

    Kerana marahkan Ramlee membuat pertemuan dengan Salmah, Shariff memberi amaran kepada Ramlee katanya: "Aku akan pecahkan muka kau".  Cabar mencabar berlaku yang mana akhirnya mereka bergaduh yang mana Ramlee tewas dan jatuh pengsan.  Selepas itu, Shariff dan ibunya datang meminang Salmah dan telah dipersetujui ibu Salmah.
Ramlee masih mahu berusaha merebut Salmah daripada tangan Shariff Dol tetapi dia perlukan RM200 untuk tujuan tersebut.  Untuk menolong Ramlee, Sudin (dengan menggunakan batu akik yang kononnya hikmat) pergi bertemu dengan pengurus Kemat Hassan untuk meminjam wang.  Bagaimanapun setelah bertemu dengan pengurus tersebut Sudin hanya memperolehi 5 ringgit saja.

    Salmah terang-terang menyatakan kepada ibunya dia tidak mahu berkahwin dengan Shariff yang dianggap ibunya orang kaya.  Setelah Salmah menerangkan keadaan sebenar yang Shariff selama ini sering mengacaunya, ibu Salmah marah lalu dia memulangkan gambar dan wang yang diterimanya sebagai tanda putus tunang.

    Shariff marah dan memberi amaran katanya: "Jangan menyesal".  Kemudian Ramlee dan Salmah merancang untuk berkahwin dengan menggunakan wang RM800 ringgit kepunyaan Salmah untuk masuk meminang.  Tetapi malangnya, apabila Ramlee dan Salmah pulang mereka dapati rumah sewa tempat mereka menginap terbakar dan menurut Salmah pembakaran tersebut dilakukan oleh Shariff yang marah kerana Salmah memutuskan pertunangan dengannya.
Ketika Ramlee sedang mengenangkan nasib badannya, dia terjumpa dompet kepunyaan Shariff lantas Ramlee pergi ke Kampung Dusun bertemu Shariff untuk membuat perhitungan.  Di rumahnya, Shariff Samseng sedang berjudi dan mengaku membakar rumah sewa mereka tetapi dia tidak takut kerana tidak ada bukti untuk membawanya ke balai Polis.  Pergaduhan antara Ramlee dan Shariff berlaku dan oleh kerana tidak tahan dengan penangan Ramlee di samping menunjukkan dompetnya yang tercicir akhirnya Shariff Dol rela dirinya diserahkan kepada Polis.

    Ramlee dan Salmah dapat juga berkahwin kerana wang Salmah tidak menjadi korban api disebabkan sebelum kejadian berlaku ibu Salmah telah memasukkannya ke dalam pejabat pos.  Bagi Aziz dia tidak kecewa kerana mata airnya, Dayang Sofia, datang memanggilnya manakala Sudin pula didatangani tunangnya, Zaiton.  Ayu (adik Zaiton) tetap dengan perangai lamanya membuat tuntutan 20 sen daripada Sudin sebagai menutup rahsia.

    Secara keseluruhan,filem ini mempunyai pelbagai unsur teguran secara humor kepada setiap penontonnya. Ianya terpulanglah kepada setiap individu untuk mentafsirkannya. Filem ini adalah salah satu dari siri bujang lapok arahan Tun P.Ramlee yang bijak memikat hati untuk menonton ia berulang kali sehinggakan mampu di katakan setiap dialog lakonan telah di hafal serta dapat di ikuti oleh penonton akan tetapi ia tetap memberi kesan jenaka yang mengakibatkan penonton nya ketawa berdekah-dekah.meskipun filem ini sudah berusia hampir 40 tahun,ia tetap memberi impak yang besar kepada setiap genap lapisan masyarakat kerana pendekatan yang di gunakan oleh Tun P.Ramlee adalah sungguh dekat di hati dan norma masyarakat Malaysia.